Tarikh wajib iklan MYFutureJobs tunda 1 Jan

90

10 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi tempoh lanjutan pelaksanaan pengesyoran portal MYFutureJobs untuk pemohonan pekerja asing dan pegawai dagang sehingga 1 Januari 2021.

Sebelum ini, tarikh yang ditetapkan untuk penguatkuasaan langkah tersebut adalah pada 1 November lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, KSM memahami kebimbangan majikan mengenai keperluan untuk mengiklankan jawatan kosong melalui portal MYFutureJobs dan mengadakan temuduga sebagai pra-syarat permohonan penggajian pekerja asing dan pegawai dagang.

Menurut beliau, sejak pengumuman dibuat, KSM menerima pelbagai maklum balas daripada majikan berkaitan dengan syarat-syarat khususnya permintaan untuk pengecualian syarat pengiklanan dan temuduga bagi Pegawai Dagang Kategori EP1 termasuk jawatan-jawatan utama dan pembaharuan kontrak.

“Dasar yang diperkenalkan KSM ini amat penting dalam mengutamakan bakat tempatan dan ia merupakan faktor utama yang akan menyumbang kepada transformasi pasaran buruh negara.
“Pada masa yang sama, KSM juga peka dengan permintaan dewan-dewan perniagaan serta pihak industri untuk mempertimbangkan kelulusan secara automatik dalam penggajian pegawai dagang tanpa perlu mengiklankan jawatan kosong dan hanya mengemukakan maklumat pasaran buruh yang diperlukan oleh KSM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Saravanan berkata, KSM akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan untuk membincangkan syarat-syarat yang menetapkan kelulusan automatik dan juga mekanisme pelaksanaan yang berkesan.

Beliau memberitahu, garis panduan yang dihasilkan daripada sesi libat urus ini akan dibentangkan untuk maklum balas daripada dewan-dewan perniagaan dan pihak industri sebelum ia dilaksanakan.

“Sebelum dasar ini dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021, KSM ingin menggesa semua majikan supaya mengiklankan kekosongan jawatan dalam organisasi masing-masing di portal MYFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my) dan memberi sokongan kepada pengambilan tenaga kerja tempatan.

“Melalui MYFutureJobs, perkhidmatan tambah nilai yang disediakan oleh KSM termasuklah memuat naik kekosongan jawatan, padanan resume dan pengambilan pekerja, semuanya dengan percuma,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.