PKPB: Polis buka kertas siasatan ke atas YB Rara

674

10 NOV: Polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata setakat ini, pihaknya menerima dua laporan di Sepang membabitkan tindakan Young Syefura ingkar arahan PKPB dengan berkelah bersama beberapa rakannya di sebuah pantai, dekat Sepang.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Berikutan itu polis akan memanggil individu terbabit untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna Facebook menggunakan ‘Azwan Mohamad’ mendedahkan beliau tampil membuat laporan polis terhadap ADUN DAP berkenaan kerana sebelum ini Young Syefura lantang bersuara apabila orang lain melanggar PKP.

“Selesai buat laporan polis ke atas YB Rara yang cakap tak serupa bikin. Sebelum ini beliau begitu lantang menyelar menteri dan orang lain kerana tidak mengikut SOP.

“Semalam beliau (Young Syefura) berkelah beramai-ramai di Bagan Lalang dan terang-terang melanggar SOP. Kes Covid-19 masih belum ada tanda untuk reda.

“Sikap-sikap begini yang membuatkan rakyat semakin marah. PKPB dilanjutkan. Sekolah ditutup terus sampaj habis penggal.

“Masjid juga hanya 6 orang sahaja dibenarkan. Jika wakil rakyat tidak menunjukkan contoh yang baik, bagaimana rakyat mahu menjadikan contoh?,” dalam satu kenyataannya menerusi akaun Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, gambar perkelahan ADUN DAP sempena hari lahir itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi selepas ia dimuat naik ke Instagram, memaparkan dirinya dan empat yang lain berkelah di sebuah pantai di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang, Sepang.

Bagaimanapun, gambar itu kemudian dipadamkan selepas ia tular di media sosial dan menerima desakan sebilangan netizen supaya Young Syefura untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Malah, Young Syefura dalam reaksinya kemudian memohon maaf dan sedia disiasat. Pemimpin DAP itu menjelaskan yang beliau berkhidmat sebagai ADUN di Pahang tetapi bermastautin di Selangor.

Pelaksanaan PKPB di Selangor, bermula pada 14 Oktober lalu, melarang pergerakan antara negeri dan daerah kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.