PKPB dilaksana ekoran kes positif terlalu tinggi

116

10 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri bermula 9 November dilaksanakan susulan daripada laporan kes pada 6 November 2020 apabila Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi kes COVID-19 harian iaitu sebanyak 1,755 kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, tindakan itu juga adalah sebagai langkah meneruskan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurut beliau, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berikutan peningkatan kes COVID-19 di setiap negeri tersebut dan terdapat keperluan untuk menggunakan pendekatan yang lebih tegas serta berani sebelum keadaan bertambah buruk.

MOHD REDZUAN MD YUSOF
MOHD REDZUAN MD YUSOF

“Berdasarkan situasi ini, Kementerian Kesihatan segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri–negeri tersebut.

“Atas sebab ini, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dalam tempoh empat minggu (28 hari) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti yang dikenal pasti mempunyai kadar penularan yang tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak ini.

“Susulan daripada keputusan ini, prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial dan termasuk juga di kawasan-kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara,” katanya dalam jawapan lisan bagi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Ahli Parlimen DAP Kluang, Wong Shu Qi tentang rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri yang bermula 9 November 2020 sehingga 6 Disember 2020.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan memberitahu sekatan rentas negeri bagi semua tujuan selain kegiatan ekonomi dan bekerja perlu dilaksanakan lebih tegas pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dengan penerusan penggunaan Akta 342, penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP-SOP dapat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang telah diberi kuasa di bawah akta ini untuk memastikan pematuhan ke atas SOP selain mendidik masyarakat untuk membudayakan normal baharu kehidupan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.