Najib cadang kerajaan baiki Bajet, mahu one-off RM10,000 KWSP

647

10 NOV: Kerajaan disarankan supaya menambah baik Belanjawan 2021 dengan membenarkan pencarum mengeluarkan wang RM10,000 secara sekali bayar (one-off) dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal sehingga enam bulan lagi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan perlu melaksanakan cadangan berkenaan kerana ia tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

Malah, Ahli Parlimen BN Pekan itu percaya wang yang dikeluarkan dari akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi pada masa hadapan selepas krisis COVID-19 berlalu.

“Tiada seorang pun yang berkata bahawa wang yang dikeluarkan sekarang tidak boleh dipulihkan pada masa akan datang. Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafi pencarum dari mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak.

“Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulihkan dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat. Supaya sewaktu mereka bersara nanti, simpanan di dalam Akaun 1 akan mencukupi,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, perkara berkenaan boleh dilakukan selepas COVID-19 tamat di mana kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada organisasi kerajaan berkenaan.

Najib berkata contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49 peratus di dalam syarikat PLUS dan bukan diberikan kepada kroni.

“Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum. Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin ‘multi-tier dividend structure’ di mana baki simpanan yang lebih rendah akan terima dividen yang lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah.

“Dengan ini, simpanan masa tua pencarum yang terpaksa mengeluarkan wang secara ‘one-off’ dari Akaun 1 dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Najib memberitahu, jumlah aset terkumpul KWSP bernilai RM940 bilion pada masa kini dan seandainya empat juta pencarum mengeluarkan maksima yang dibenarkan sebanyak RM10,000, ini akan mengakibatkan keperluan dicairkan wang tunai sebanyak RM40 bilion.

“Saya percaya, tidak semua pencarum akan mengeluarkan jumlah maksima. Kemungkinan, jumlah yang diperlukan sekitar RM20 bilion hingga RM30 bilion,” katanya.

Justeru, Najib percaya jumlah ini mampu disediakan oleh KWSP, tambahan lagi Bank Negara Malaysia boleh membeli bon-bon kerajaan yang dimiliki oleh KWSP.

“Perlu sedar bahawa 49 peratus aset KWSP adalah dalam bentuk bon kerajaan. Dan Bank Negara Malaysia boleh membantu dengan pelupusan bon ini tanpa memberi impak besar kepada pasaran bon tempatan.

“Kita bukan mahu memaksa KWSP untuk mencairkan aset ekuiti pada masa nilai aset rendah. Secara tidak langsung menambah wang dalam kitaran atau ‘money circulation’ dalam ekonomi agar pekerjaan dapat diselamatkan dan ekonomi dapat dirancakkan dengan penambahan permintaan ini, merupakan keutamaan kita,” katanya.

Najib juga menjelaskan mengapa pembayaran one off ini amat diperlukan oleh pencarum dan tidak menerima cadangan dalam bajet untuk dibayar RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

“Antara sebabnya, pembayaran one-off ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anakanak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.

“Wang berkenaan juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah kehilangan kerja. Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti motosikal bagi menjadi pemandu penghantar makanan atau barangan.

“Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau ‘online business’ yang kini semakin pesat mengembang. Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.