Libatkan kerjasama negara asal banteras PATI di Sabah

87

10 NOV: Kerajaan diharapkan mengambil pendekan holistik yang lebih berkesan bagi mengatasi ancaman COVID-19 yang dibawa oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menyebabkan berlakunya gelombang ketiga pandemik tersebut di negara ini khsusunya di Sabah.

Ahli Parlimen BERSATU Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaaan disaran menjalinkan kerjasama dua hala bersama negara-negara yang rakyatnya memasuki secara haram ke negara ini agar satu penyelesaian dapat dilaksanakan yang sehingga kini perkara ini masih tidak dapat diatasi.

“Gelombang ketiga pandemik di Sabah bukti jelas bahaya yang dibawa oleh pendatang tanpa izin, kerajaan mesti cari jalan dan usaha lebih berkesan untuk mengatasi masalah ini walaupun terpaksa berbelanja lebih besar demi keselamatan negara dan rakyat mesti diutamakan.

“Kebimbangan ini bukan sandiwara dan bukan bermotifkan politik. Tindakan holistik segera perlu diambil untuk menangani secepat mungkin. Keberadaan mereka di negara ini merupakan ancaman sosial kepada kita.

“Saya mengalu-alukan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan demi pertahankan negara yang saya berharap agar usaha membanteras PATI akan lebih berkesan dan berjaya,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Azizah turut mengharapkan agar tuntutan Filipina ke atas Sabah segera diatasi oleh Kerajaan kerana rakyat di negeri itu amat mengharapkan peranan Kerajaan yang sememangnya tidak mahu Sabah jatuh ke tangan Filipina.

“Kedualatan negara amat penting. Malaysia merupakan negara berdaulat sejak tahun 1963 dan Sabah sebahagian daripada Malaysia dan kami orang-orang Sabah adalah rakyat Malaysia. Justeru itu, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak berasas.

“Kementerian Luar ambil langkah tegas agar ia diselesaikan dan tidak akan dibangkitkan lagi. Adalah tidak adil sekiranya anak dan cucu kami, mereka dibebankan dengan isu ini nanti dan kami tidak mahu perkara ini terjadi,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut berharap agar Kerajaan memberikan tumpuan dan memperkasakan sektor pertanian dan perikanan khususnya industri hiliran yang bukan sahaja menyediakan keperluan makanan negara dan menyediakan peluang pekerjaan rakyat di luar bandar.

Menurut beliau, menerusi sektor ini, kerajaan boleh memfokuskan produk halal yang bukan sahaja memberi manfaat kepada hampir 2 billion umat Islam di seluruh dunia malah mampu menarik keyakinan negara bukan Islam disebabkan kualiti dan kebersihan yang ada pada produk halal.

“Selama ini yang diperkatakan produk halal dan dalam pertanian adalah perniagaan, maka negara kita perlu merealisasikannya. RM1 billion yang tersedia di bawah PENJANA mesti menampakkan hasil dan melonjakkan ekonomi menerusi sektor ini.

“Yang bukan sahaja memenuhi keperluan domestik malah memenuhi keperluan global sekaligus menjadikan usahawan Malaysia pemain global terkenal. Dengan peruntukan RM4.7 billion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh memungkinkan transformasi hebat dan bermanfaat dalam sektor ini,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.