Gara-gara degil, Rayer nyaris kena ‘halau’

1,882

10 NOV: Gara-gara enggan mendengar nasihat, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer, hampir ‘dihalau’ keluar dari sidang pagi tadi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Situasi panas tercetus apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menggunakan perkataan ‘gagalkrasi PH’ ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) .

Terdahulu, Najib yang juga Ahli Parlimen BN Pekan, menyatakan rakyat Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan negeri berkenaan sudah dilaksanakan PKPB paling lama tempohnya dan adalah negeri paling terjejas dalam gelombang ketiga COVID-19 ini.

“Sabah adalah antara negeri yang paling tinggi kadar kemiskinannya dan bertambah teruk semasa zaman ‘gagalkrasi PH’ di mana kadar pertumbuhan Sabah turun dari 8.2 peratus tahun 2017 (semasa BN) paling tinggi di antara semua negeri dalam Malaysia.

“Kadar berkenaan menjunam ke paras paling rendah untuk dua tahun berturut-turut dengan kadar pertumbuhan cuma 1.5 peratus pada tahun 2018 dan 0.5 peratus pada tahun 2019. Kita jangan membiarkan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung bertambah besar. Bantulah Sabah sekarang!” katanya.

Bagaimanapun, tindakan Najib menggunakan istilah ‘gagalkrasi PH’ mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan Rayer yang bangkit mencelah menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(6) untuk meminta Ahli Parlimen Pekan menarik balik perkataan ‘gagalkrasi PH’.

Tindakan Rayer berkenaan menyebabkan Azhar terpaksa campur tangan dan meminta Ahli Parlimen Jelutong berkenaan duduk bagi membolehkan Najib menyambung perbahasannya.

“YB (Jelutong) sila duduk, saya sedang membuat ‘ruling’ (petua) ni. Di bawah Peraturan 36(6), seseorang ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sebarang sangkaan jahat terhadap wakil rakyat lain tetapi saya tidak mendengar pun.

“Saya sedang membuat ruling jadi YB pun kena ikutkan peraturan mesyuarat. YB Pekan (Najib) tidak merujuk kepada mana-mana Ahli Parlimen jadi Peraturan 36(6) tidak boleh diguna pakai,” katanya yang meminta Najib menyambung perbahasannya.

Namun Rayer terus cuba menganggu Najib daripada meneruskan perbahasan sehingga menyebabkan Azhar mengeluarkan amaran pertama dan mengetuk meja dengan penukulnya, sebelum sekali lagi meminta Najib meneruskan ucapannya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.