Dana RM100 juta bantu graduan menganggur

169

10 NOV: Kerajaan memperuntukan sebanyak RM100 juta menerusi inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) bagi membantu graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menganggur mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Tindakan berkenaan perlu kerana dianggarkan seramai 300,000 graduan sudah dan akan menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS) dan latihan kemahiran awam (ILKA) pada 2020.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, terdapat tiga program utama yang digerakkan oleh KPT di bawah peruntukan PENJANA iaitu program ‘Job Matching and Placement’, program berterusan keusahawanan dan Gig Economy.

NORAINI AHMAD
NORAINI AHMAD

“Program berbentuk latihan kemahiran jangka pendek dan sederhana ini dijangka dapat memberikan manfaat dan nilai tambah kepada sejumlah 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

“Sebagai langkah tambahan, kementerian turut menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui agensi-agensi di bawahnya untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

“Antaranya program ‘reskilling dan upskilling’ bersama Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini menjawab soalan Ahli Parlimen PH Bukit Bendera, Wong Hon Wai yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan apakah statistik dan angka graduan di IPTA dan IPTS pada tahun ini.

Hon Wai juga ingin tahu apakah langkah-langkah diambil KPT dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dalam menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan baharu.

Mengulas lanjut, Noraini berkata melalui program ini, graduan akan ditempatkan di syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti oleh HRDF selama sebulan hingga tiga bulan untuk mereka menjalani latihan persijilan profesional dan kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh industri.

Beliau berkata mereka akan ditawarkan pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut sekiranya berjaya menamatkan latihan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

“Kementerian juga melaksanakan program padanan pekerjaan kepada graduan dengan kerjasama PERKESO. Graduan-graduan yang berdaftar di Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training atau ringkasnya GREaT yang diselia oleh KPT akan dipadankan dengan kekosongan jawatan di syarikat yang berdaftar melalui portal MyFutureJobs di bawah seliaan PERKESO.

“Seramai 122,702 graduan telah mendaftar untuk dipadankan dengan kekosongan perjawatan di dalam portal terbabit dan sejumlah 31,942 graduan telah mendapat penempatan, sehingga 28 Oktober lalu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.