869 kes baru, kematian kini cecah 300 kes

730

10 NOV: Kes baru COVID-19 kekal tiga angka hari ini dengan 869 kes dilaporkan di seluruh negara yang mana Lembah Klang dan Negeri Sembilan terus mencatatkan pertambahan kes yang konsisten.

Namun demikian, Sabah kekal mencatatkan angka harian tertinggi dengan 397 kes.

Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di seluruh negara pula bertambah kepada 300 individu apabila enam lagi kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 215 kes baru di Sabah dikesan hasil saringan kontak rapat kes-kes sebelum ini manakala bakinya daripada lain-lain saringan dan kes dari kluster sedia ada serta baru.

Menurut beliau, Selangor pula melaporkan 235 penularan iaitu 162 kes daripada kluster sedia ada, 33 kes dari saringan kontak rapat manakala bakinya dari lain-lain saringan.

Katanya, Negeri Sembilan turut mencatatkan kes baru tiga angka hari ini dengan 141 kes iaitu 129 kes dari kluster ada manakala 10 lagi dari saringan kontak rapat dan dua kes dari lain-lain saringan.

“Daripada 869 kes baru hari ini, terdapat satu kes import di Selangor melibatkan ketibaan dari Nepal.

“Hari ini pula melaporkan 725 kes sembuh.

“Keseluruhannya, 42,050 kes positif COVID-19 dilaporkan setakat hari ini dengan 11,446 daripadanya adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Tambah Noor Hisham, setakat tengah hari ini, seramai 82 individu disahkan positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan enam lagi kematian dilaporkan melibatkan individu positif yang dirawat di beberapa hospital di negeri Sabah iaitu di Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Dengan ini, jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 kini menjadi 300 kes. Takziah kepada seluruh anggota keluarga terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, turut melaporkan kes hari ini ialah sebuah negeri zon hijau iaitu Kelantan dengan sembilan kes melibatkan satu kluster baru di Kota Bharu dan Tanah Merah.

Katanya, dua lagi negeri yang tidak dikenakan PKPB di Semenanjung iaitu Pahang dan Perlis tidak merekodkan sebarang kes baru hari ini.

“Negeri lain melaporkan pertambahan kes ialah Pulau Pinang dengan 27 kes, Kuala Lumpur (19), Perak (12), Johor (8), Labuan (8), Sarawak (6), Kedah (3) dan Putarajaya, tiga kes.

“Nasihat saya, terus patuhi SOP yang dikeluarkan termasuk memakai pelitup muka dan mengelakkan sentuhan dengan individu lain,” jelasnya. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.