Wanita sakit bersalin, pekerja Rapid KL jadi bidan terjun

159

9 NOV: Memang mencemaskan apabila dua kakitangan Rapid KL Laluan Sri Petaling terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ menyambut kelahiran seorang bayi di Stesen LRT Puchong Prima, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Shahira Nurdiyana Rauf, 32, yang sedang berehat, terdengar jeritan meminta bantuan daripada seorang rakan sekerja.

Beliau seterusnya mendapati seorang wanita berusia 36 tahun mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan anak berhampiran kaunter tiket.

Melihat keadaan tersebut, kakitangan stesen dengan dibantu oleh penyelia pembersihan membawa wanita terbabit ke bilik rawatan di stesen.

“Ketika menanti pasukan perubatan tiba, wanita terbabit telah selamat melahirkan bayi lelaki dengan dibantu kakitangan operasi Rapid KL yang bertindak sebagai bidan terjun.

“Wanita dan bayi tersebut dibawa dengan ambulan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan,” kata Kumpulan Prasarana dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahira Nurdiyana yang baru memulakan tugas setelah selesai cuti berpantang anak kedua rasa bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan dalam keadaan sihat.

Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantu beliau mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi tersebut.

Ketika ditanya, beliau yang pada mulanya turut berdebar melalui situasi cemas ini, bagaimanapun terus menguatkan hati dan cuba sedaya mungkin memberi pertolongan kepada wanita terbabit.

Tindakan Shahira telah mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana dan beliau telah diraikan di dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA Bangsar.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah menyampaikan saguhati kepada Shahira atas tanda terima kasih syarikat.

Norlia juga turut memuji keberanian dan kebolehan beliau mengendalikan situasi cemas ini selain menyeru agar semua kakitangan dapat mencontohi perbuatan itu dan sentiasa bersedia membantu pelanggan yang memerlukan pertolongan.

Untuk makluman, semua kakitangan barisan hadapan Prasarana mempunyai latihan dalam mengendalikan kes kecemasan dan bantuan perubatan asas seperti yang termaktub dalam kursus wajib lulus bagi setiap kakitangan barisan hadapan.

Walaupun skop bidan bukan teras petugas barisan hadapan kakitangan rel operasi, namun pengetahuan asas pertolongan cemas yang dimiliki dapat membantu pengguna yang memerlukan bantuan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.