Suspek Macau Scam mohon bebas dari POCA

205

9 NOV: Suspek sindiket penipuan Macau Scam yang direman selama 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berhubung penglibatannya dalam perjudian dalam talian haram, memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta.

Goh Leong Yeong, 32, atau Alvin memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November lalu dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

Dia sebelum ini adalah individu yang berjaya melarikan diri dengan memanjat pagar pintu pagar belakang ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya baru-baru ini, bagi mengelak ditahan polis.

Memetik laporan Bernama, dalam permohonan itu, Goh memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu di mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).

Lelaki itu juga memohon perintah bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari mulai 31 Oktober sehingga 21 November mengikut POCA adalah tidak sah.

Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 di bawah POCA, bahawa semua individu yang terbabit dalam pengelolaan dan penggalakkan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan.

Beliau juga memohon perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibawa dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta-merta selain memohon perintah supaya beliau tidak boleh ditangkap atau ditahan semula.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid semalam, mahkamah menetapkan 16 November untuk mendengar permohonan itu.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Goh memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon tarikh pendengaran ditetapkan.

“Anak guam saya memfailkan permohonan habeas corpus berhubung penahanannya yang tidak sah. Untuk makluman mahkamah, peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dapat hadir pada hari ini. Pihak kami juga sudah menyerahkan afidavit (bagi menyokong permohonan) kepada responden minggu lalu,” katanya.

Peguam Persekutuan Adilah Roslan, yang mewakili kesemua responden berkata pihaknya perlu memfailkan balasan terhadap afidavit berkenaan.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua responden memfailkan balasan terhadap afidavit pada atau sebelum 16 November.

Pada 2 November lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana,’ Korporal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Korporal Mohd Hairy Mohammad, kesemuanya berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun, untuk writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya mereka dibebaskan segera.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.