Pertikai had MP, Azhar ‘sekolahkan’ Hassan

2,753

9 NOV: Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang cuba mempertikaikan keputusan mengehadkan seramai 80 Ahli Parlimen mengikuti sidang mula hari ini terdiam selepas ‘disekolahkan’ oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Hassan sebelum itu dilihat masih tidak berpuas hati dengan ketetapan yang diputuskan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat berikutan penularan wabak COVID-19 semalam yang turut dihadiri ketua-ketua whip parti.

Namun, Azhar dengan tenang menyatakan tiada kenyataan di dalam Artikel 96 dan 97 yang mengatakan kewajipan dirinya untuk mendengar 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang syaratnya hanyalah diwajibkan seramai 26 orang.

“Kita ada 80 orang, bukan saya nak kekang Ahli Parlimen dari berdebat, semua yang dipilih oleh whip parti boleh berdebat dipersilakan yang hanya dibenarkan oleh whip parti walhal kalau tengok pun pada setiap hari persidangan bukan 222 hadir dalam dewan.

“Yang datang hanya 100 ke 120 orang itu pun bukan mereka berada dalam dewan dari pukul 10 hingga 5.30 petang. Mereka keluar masuk yang walhal 2.30 petang nak dapatkan korum pun tiada. Bila kita buat persetujuan bersama 80 orang ini kenapa tiba-tiba menjadi besar,” soalnya ketika membalas pertikaian Hassan selepas sesi soal jawab berakhir dalam Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, Azhar berharap agar Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan dan wakil pembangkang menyokong perkara ini yang telah pun mendapat persetujuan di antara mereka di samping mampu mengukir keyakinan kepada pasukan barisan hadapan terhadap ahli politik.

“Marilah bersama-sama kita membalas budi dan jasa baik frontliner dan membalas budi dan jasa baik Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bertungkus-lumus selama tujuh bulan setiap hari siang dan malam tidak kira cuti demi mengawal penyebaran pandemik ini.

“Kita patut beri keyakinan pada beliau dan petugas barisan hadapan dan berilah kerjasama sepatutnya. Jadi, cukuplah dan marilah kita berbahas mengenai belanjawan ini,” katanya.

Persoalan yang dibangkitkan oleh Hassan itu turut mendapat tentangan hebat daripada Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mempersoalkan tindakan tersebut yang seharusnya tidak boleh dipertikai kerana telah mendapat persetujuan daripada ketua whip setiap parti.

SHAHIDAN KASSIM
SHAHIDAN KASSIM

“Jangan buang masa, wakil whip kena maklum, Anthony Loke kena terang ini. Kalau tak percaya dengan whip, kita buang sahaja ketua whip dan ganti dengan ketua-ketua parti. Macam mana boleh setuju ia boleh dipertikai kerana ini bukan diputuskan kita tetapi diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kalau nak lawan tak mengapa, kita isytihar hari ini kita undi menentang KKM. Ini soal penyakit yang melibatkan semua orang. Kalau pertikai boleh tetapi saya tetap sokong KKM supaya had ini diadakan sebagai SOP untuk hadir ke Parlimen,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.