Lebih 20 saksi dikenal pasti polis

86

9 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam keterangan tujuh saksi dalam membantu siasatan nahas dua helikopter di Taman Melawati, Ampang Jaya di sini yang mengorbankan dua orang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya turut mengenal pasti 20 lagi saksi lain yang akan dirakam percakapan mereka dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pihaknya juga masih mencari dan mengharapkan kerjasama dari saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam menjalankan siasatan insiden itu.

“Justeru kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membantu siasatan.

“Selain datang terus ke IPD Ampang Jaya, mereka juga boleh menghubungi talian 03-4289 7343 atau 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, Mohd Sabri, 56, dan Mohd Irfan Fikri, 41, disahkan terkorban.

Kedua-dua mangsa yang menaiki helikopter dua tempat duduk jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) serta sebuah lagi helikopter jenis sama dipandu Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan rakannya, Chai Elan, 56, dikatakan dalam perjalanan dari Subang ke Genting Sempah.

Walau bagaimanapun, berlaku pelanggaran di antara kedua-dua helikopter di udara sebelum satu daripadanya terhempas manakala sebuah lagi helikopter membuat pendaratan cemas di sebuah padang berhampiran.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.