KWSP perhalusi lagi syarat pengeluaran

619

9 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memperhalusi usaha menambah baik kemudahan pengeluaran tambahan seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, semua pandangan dan input yang diberikan sedang dalam proses pertimbangan.

“Kemudahan ini perlu dibuat berdasarkan satu perincian secara teliti bagi mengimbangi keperluan ahli menangani cabaran semasa dan memastikan simpanan persaraan untuk kesejahteraan masa hadapan.

“Perincian dan syarat-syarat kemudahan pengeluaran tambahan ini akan dibuat dalam masa terdekat selepas keputusan akhir dimuktamadkan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kebenaran mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Katanya, pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Beliau berkata, dengan inisiatif itu dan Pengeluaran i-Lestari (akaun 2) yang diperkenalkan pada April lalu sebanyak RM500 sebulan sehingga 12 bulan, maka jumlah keseluruhan pengeluaran tunai dibenarkan adalah sehingga RM12,000.

Permohonan boleh dibuat mulai Januari 2021.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan KWSP bagi menyampaikan pandangan pelbagai pihak berhubung isu tersebut.

“Alhamdulillah, saya baru lepas bertemu CEO KWSP, Tunku Alizikri bersama pengurusan tertinggi KWSP.

“Dalam perbincangan hampir 1 jam tadi, banyak perkara yang disampaikan dan diperbincangkan bagi mengimbangi kehendak kini dan keperluan masa hadapan rakyat seluruhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.