Kerajaan ada sebab kukuh isytihar PKPB

221

9 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dikuatkuasakan di sembilan negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 ke seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap situasi COVID-19 di Selangor dan Sabah sebelum ini.

Menurut beliau, Negeri Sembilan juga menunjukkan situasi yang sama di mana Seremban dikategorikan sebagai Zon Merah manakala daerah-daerah lain kecuali Tampin berada dalam Zon Kuning.

ismail sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Sebab itu kita terpaksa buat PKPB seluruh negeri. Kalau ada virus dalam komuniti akan merebak ke kawasan-kawasan lain,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi taska dan urusan pernikahan akan dibentangkan oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Beliau turut mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu mulai esok hingga 23 November ini.

“PKPD ini akan melibatkan 701 buah rumah dan seramai 3,917 orang penduduk,” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, PKPD akan dilanjutkan 14 hari lagi dari tarikh yang dijadualkan di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu (sehingga 23 November), Plaza Hentian Kajang di Hulu Langat (sehingga 24 November), Putra Point di Nilai (sehingga 24 November) Kampung Haji Baki di Kuching (sehingga 24 November).

Walau bagaimanapun, PKPD di Kampung Haji Baki boleh ditamatkan lebih awal sekiranya keputusan saringan kedua COVID-19 mendapati tiada kes positif dan atas nasihat serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, PKPD di dua lokasi ditamatkan seperti yang dijadualkan iaitu Felda Umas, Kalabakan (hari ini) dan Flat Sungai Emas, Kuala Langat (esok).

Berhubung SOP pengurusan banjir semasa COVID-19, orang ramai boleh merujuk perkara tersebut dalam laman sesawang Agensi Pengursan Bencana Negara (NADMA) dan MKN. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.