Enam lagi kluster, dua berkait tempat kerja

463

9 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam lagi lagi kluster COVID-19 hari ini melibatkan Sabah, Lembah Klang, Melaka dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripadanya di Sabah iaitu yang pertama Kluster Nahaba melibatkan daerah Kota Belud dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

Menurut beliau, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 24 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Seri Bayu Pirasan, Kota Belud.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 65 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif dan 40 individu dikesan negatif.

“Kluster kedua ialah Kluster Numbak melibatkan daerah Kota Kinabalu dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif COVID-19 dan sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19 dan enam individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, kluster ketiga ialah Kluster Perigi melibatkan daerah Klang di negeri Selangor dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 15 Oktober.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 38 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dengan setakat 12 tengah hari tadi, sejumlah 124 individu telah disaring yang mana 39 kes dikesan positif COVID-19 dan 85 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster keempat ialah Kluster Seri Terapi melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur dan daerah Alor Gajah, Melaka.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 November dan kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 12 tengah hari, sejumlah 126 individu telah disaring di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 dan 106 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, kluster kelima ialah Kluster Padang melibatkan daerah Kota Tinggi, Johor dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak empat lagi kes positif COVID-19 dengan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Menurut beliau, sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 338 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif COVID-19 dan 160 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster keenam ialah Kluster Harmoni melibatkan Putrajaya. Kes-kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 7 November 2020 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 50 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif COVID-19 dan 17 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan, 42 kluster aktif melaporkan pertambahan kes hari ini dengan yang tertinggi ialah Kluster Cergas di Negeri Sembilan melibatkan 130 penularan baru diikuti Kluster Kaya, dengan 57 kes.

“Kluster aktif di Selangor seperti Hentian dan Utama turut mencatatkan kes baru melibatkan 13 dan 10 kes.

“Sebanyak 14 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (6), Kluster Penjara Sandakan (4) dan Kluster Penjara Kepayan (4),” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.