Benarkan keluar wang Akaun 1 secara pukal

411

9 NOV: Kerajaan diharap dapat membenarkan pengeluaran maksimum RM6,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara pukal dan tidak terhad kepada pencarum yang hilang pekerjaan sahaja.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau memahami pengeluaran bersasar yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah demi kebaikan jangka panjang KWSP.

Namun, menurut beliau, masih terdapat beberapa lagi golongan yang sangat terdesak untuk mendapatkan belanja bulanan seperti pekerja yang diarahkan cuti tanpa gaji dan mereka yang dipotong gaji.

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

“Selain itu, pekerja yang dikurangkan tempoh masa kerja sekaligus mengurangkan pendapatan bulanan mereka.

“Termasuk juga individu yang telah berhenti kerja sebelum pandemik bagi memulakan perniagaan tetapi kini menghadapi kewangan yang meruncing akibat situasi ekonomi yang malap,” katanya melalui hantaran Facebook miliknya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pencarum KWSP yang benar-benar terjejas dibenarkan untuk mengeluarkan sebanyak RM6,000 daripada Akaun 1 secara beransur-ansur selama 12 bulan.

Abdul Azeez menambah, mereka semua adalah antara golongan yang bermasalah dan sangat memerlukan tunai bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau memberitahu, mereka tidak mendapat manfaat Skim Insurans Pekerjaan (SIP) serta sebahagian pula mungkin tidak mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kerana rekod pendapatan isi rumah melebihi RM5,001.

“Saya percaya KWSP lebih daripada mampu untuk menimbangkan tambahan pengeluaran daripada kategori-kategori rakyat yang memerlukan,” jelasnya.

Sekiranya perlu, kata Abdul Azeez, KWSP boleh mengehadkan jumlah pengeluaran melalui peratusan simpanan yang ada bagi mengelakkan masalah pencarum di hari tua.

“Saya percaya pada akhirnya kerajaan akan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dan menjadikan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan negara,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.