972 kes baru, NS melonjak Sabah berkurang

926

9 NOV: Kes baru COVID-19 kembali menghampiri empat angka hari ini apabila sebanyak 972 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, melegakan hari ini apabila kes sembuh yang dilaporkan mencatat 1,345 kes iaitu mengatasi jumlah kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 967 penularan tempatan hari ini, Sabah mencatatkan penurunan kes apabila 370 kes dilaporkan.

Menurut beliau, bagaimanapun jumlah tersebut masih yang tertinggi di seluruh negara dengan diikuti Negeri Sembilan yang mencatatkan lonjakan apabila 260 kes dilaporkan hari ini.

Katanya, negeri-negeri di Lembah Klang pula melaporkan 165 kes baru dengan 138 daripadanya adalah di Selangor.

“Lima kes import jangkitan dari luar negara pula melibatkan ketibaan dari Filipina, Singapura dan Nepal.

“Dengan perkembangan ini, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 41,181 manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula berjumlah 11,308,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 86 individu disahkan positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 31 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan hari ini menyaksikan pertamabahan lapan lagi kes kematian yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini mencecah 294 kes.

“Satu kes kematian dilaporkan di Hospital Labuan manakala tujuh kes lagi di beberapa hospital di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tuaran, Sandakan dan Tawau,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, daripada 260 kes baru di Negeri Sembilan, sebanyak 247 kes dilaporkan melibatkan klus-kluster sedia ada, tiga daripada saringan kontak rapat manakala bakinya lain-lain saringan.

“Turut melaporkan kes baru ialah Labuan dengan 63 kes, Perak (51), Pulau Pinang (34), Kuala Lumpur (20), Kedah (8), Johor (8), Melaka (5), Putrajaya (5), Sarawak (4) dan Kelantan (2).

“Sebanyak enam lagi kluster dikenal pasti KKM hari ini melibatkan Sabah, Lembah Klang dan beberapa negeri lain,” katanya.-Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.