31,282 PATI diusir ke negara asal

57

9 NOV: Jabatan Imigresen telah menghantar pulang seramai 31,282 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara masing-masing, setakat 5 November lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, warga Indonesia merupakan yang paling ramai iaitu sebanyak 14,072 orang.

“Diikuti Bangladesh (4,551), Myanmar (2,898), Thailand (2,200), India (2,189), China (1,856), Pakistan (1,230), Vietnam (647), Nepal (397), Filipina (298), lain-lain (944),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan 22 PATI dan merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 717 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 704 individu telah dikompaun manakala 11 orang direman dan dua orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (205), tidak memakai pelitup muka (118), premis beroperasi lebih masa (110), aktiviti pusat hiburan (103), premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (73), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (63), membawa penumpang berlebihan (37) dan lain-lain (8),” jelasnya.

Dalam pada itu, sebanyak 11,233 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,284 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,256 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 25 premis diberi nasihat dan tiga diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.