Tarikh peperiksaan awam ditunda sekali lagi

120

8 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2020, berikutan situasi terkini peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021 manakala peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021 dengan perinciannya akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.

Mohd Radzi berkata, bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Januari 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah. Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya dalam sidang medianya di Putrajaya, sebentar tadi.

Dalam pada itu, KPM juga akan membuat pengumuman mengenai kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Di Raja.

Katanya, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Selain daripada itu, terdapat juga pertanyaan berkaitan perkara yang masih belum diselesaikan.

“KPM akan menjadualkan semula semua peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran khusus yang dijadualkan sehingga Disember 2020,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

“Bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

“Pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021. Ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun 2021.

“Bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022. Pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Januari 2021,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.