Siasatan nahas dua helikopter bermula

154

8 NOV: Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan sudah memulakan siasatan berhubung kemalangan helikopter di Taman Melawati, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata siasatan teknikal kemalangan helikopter berkenaan dilakukan berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

Berdasarkan ICAO Annex 13, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan.

Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti (not to the purpose to apportion blame or liability).

“Pasukan penyiasat terbabit akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai.

“Dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Terdahulu, Ka Siong mengesahkan MOT menerima laporan mengenai satu kemalangan udara telah dilaporkan pada jam 11.50 pagi, Ahad, 8 November 2020 di Bukit Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan 2 helikopter (9M-HCA & 9M-HCB), jenis G2CA.

Helikopter G2CA

Beliau, berkata dua helikopter ini yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama 4 orang krew.

“Kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana 1 helikopter telah terhempas dan 1 lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati.

“Berikutan itu Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat ini.

“Maklumat terbaharu yang diterima menyatakan bahawa dua orang telah meninggal dunia dan dua lagi mangsa sedang menerima rawatan perubatan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.