Shahar akan bertemu KWSP, bincang isu pengeluaran

194

8 NOV: Timbalan Menteri Kewangan II, Shahar Abdullah akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias bagi membincangkan isu pengeluaran Akaun 1 KWSP.

Shahar berkata, tindakan itu perlu selepas beliau mendapat pelbagai maklum balas ddaripada orang ramai berhubung isu berkenaan menerusi media sosial.

“Hampir 48 jam selepas pengumuman Belanjawan 2021, saya dengar ucapan terima kasih dan ada juga keluh resah orang ramai di media sosial dan masyarakat di Paya Besar berkaitan beberapa perkara. Banyak yang baik dan ada juga yang perlu ditambah baik demi kesejahteraan rakyat.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Insya-Allah, langkah pertama saya esok pagi, saya akan bertemu dengan CEO KWSP, Tunku Alizakri di ibu pejabat KWSP untuk saya sampaikan pandangan serta maklum balas dan mohon penjelasan lebih mendalam berkenaan perkara berkaitan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Shahar berkata kerajaan memang sentiasa prihatin terhadap keperluan jangka pendek dan jangka panjang rakyat.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan melihat keperluan rakyat secara jangka pendek dan panjang. Kami berusaha sebaik mungkin.

“Jika anda ada sebarang pandangan sila berikan pada saya. Teguh kita, Menang bersama,” katanya.

Pada 6 November lalu, kerajaan mengumumkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.