Mutasi: Pembangunan vaksin tak terjejas

134

8 NOV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta masyarakat dunia supaya tidak perlu bimbang mutasi baru COVID-19 daripada haiwan cerpelai atau mink yang dikenali sebagai ‘Kluster 5’, mungkin merencatkan usaha pembangunan vaksin.

Pengarah Serantau WHO Eropah, Dr. Hans Kluge, berkata kebimbangan terhadap kesan mutasi yang ditemui di Denmark itu wajar tetapi perlu disiasat lagi memandangkan ia adalah kombinasi baru.

Beliau pada masa sama menyokong keputusan kerajaan Denmark untuk membunuh semua cerpelai di negara itu sebagai langkah pencegahan dan menguji sehingga 280,000 penduduk Denmark di Jutland Utara, di mana mutasi virus itu mula dikesan.

“Tindakan pantas Denmark dan negara jiran berkongsi pengetahuan mengenai mutasi virus baru daripada cerpelai turut meningkatkan pemahaman terhadap kesannya kepada manusia,” katanya.

Jutaan cerpelai di Denmark bakal dimusnahkan

Kelmarin, pakar WHO yang berpusat di Geneva berkata ketika ini tidak ada bukti bahawa mutasi virus SARS-CoV-2 pada cerpelai di Denmark akan mempengaruhi keberkesanan vaksin masa depan untuk COVID-19.

Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan, berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai implikasi mutasi spesifik itu.

“Baik dari segi penularan, keparahan klinikal COVID-19, tindak balas imun atau potensi keberkesanan vaksin, kita perlu tunggu dan lihat apa implikasinya,” katanya.

Pada 5 November lalu, pihak berkuasa Denmark melaporkan 12 kes jangkitan COVID-19 berpunca daripada rantaian variasi berkaitan dengan cerpelai dari SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 sekarang.

Menurut kenyataan WHO Eropah, semua 12 kes itu tinggal di Jutland Utara dan mulai sakit September lalu, dengan lapan terbabit dalam industri perladangan cerpelai dan empat penduduk tempatan.

Varian khusus itu menunjukkan gabungan mutasi yang tidak pernah ditemui dan ujian makmal menunjukkan rantaian terbabit boleh mengurangkan tindak balas peneutralan antibodi terhadap SARS-CoV-2.

Penemuan itu adalah hasil kajian dan kerjasama antarabangsa yang sedang dilakukan untuk mengesahkan status varian baru itu, menurut WHO Eropah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.