JASA baru lawan berita palsu, rapat perpaduan

330

8 NOV: Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ditubuhkan semula untuk membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19, merapatkan perpaduan dengan menyediakan maklumat tepat serta sahih kepada masyarakat.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata, pihaknya memberi jaminan penubuhan semula JASA tidak dianggotai oleh pasukan bermotifkan politik, sebaliknya membabitkan kumpulan yang ditugaskan untuk mengukuhkan sahsiah serta pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.

Menurut kenyataan itu, JASA juga akan bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan segmen masyarakat.

Katanya, tanggungjawab itu amat penting dan kritikal lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan krisis pandemik COVID-19 selain menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.

“Penyebaran berita palsu yang memecahbelahkan keharmonian masyarakat juga antara cabaran besar dihadapi oleh masyarakat majmuk kita hari ini.

“Justeru JASA sebagai agensi kerajaan yang mendukung prinsip Rukun Negara juga berperanan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

“JASA dijenamakan semula bertepatan fungsinya yang akan melaksanakan pengambilan pegawai dan kakitangan berkelayakan selain mengadakan latihan bagi melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Melalui Belanjawan 2021, JASA yang dianggap sebagai cybertroopers sebelum ini diberi peruntukan lebih RM81 juta, sekali gus menjadi pertikaian pihak pembangkang.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara, pembangunan modul dan latihan kompetensi kepada mereka.

Menurut KKM, ia juga bagi melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komunikasi supaya dapat disampaikan secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat.

“Selain itu, ia juga membabitkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan yang jauh dan terpencil seluruh negara serta kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu,” katanya.

KKMM berkata, pihaknya memahami keresahan rakyat terhadap fungsi JASA sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.

Di bawah penjenamaan semula ini, katanya, JASA bertanggungjawab mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat dalam mendapatkan input penting yang konstruktif.

“Segala perbelanjaan adalah tertakluk kepada peraturan kewangan kerajaan yang akan diaudit. Sehubungan itu, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada JASA sudah pasti akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Peruntukan ini juga secara langsung akan memberi peluang pekerjaan di samping menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja secara keseluruhannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.