Dua maut helikopter terhempas, bekas CEO MAS selamat

5,666

8 NOV: Dua individu meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas akibat perlanggaran di udara dengan sebuah helikopter lain di kawasan padang berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati di Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebuah lagi helikopter yang membawa Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines berjaya membuat pendaratan cemas di padang sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha mengesahkan, dua maut dalam nahas melibatkan dua helikopter itu yang dalam latihan penerbangan.

“Maklumat awal yang kita terima penerbangan ini dari Subang menghala ke Genting Sempah. Kedua-dua helikopter ini ada kaitan dari syarikat kelab penerbangan sama dan ke destinasi sama.

“Yang maut, Mohd Sabri Baharom dan Mohd Irfan Rawi. Manakala satu lagi helikopter, juruterbang dan penumpang kedua-duanya terselamat iaitu Datuk Jauhari Yahya dan Tan Chai Lan.

“Yang terselamat dilaporkan stabil tetapi saya tak boleh maklum lebih lanjut. Semua masih dalam siasatan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan jalankan siasatan lanjut termasuk punca kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Helikopter yang terselamat itu membuat pendaratan cemas di kawasan sekolah berhampiran.

Pada masa sama, seorang pengguna media sosial pula mendakwa terdengar dentuman letupan yang kuat tidak jauh dari rumahnya.

Netizen tersebut mendakwa, ada dua helikopter dilihat dari insiden itu, yang pertama berwarna merah dan kedua biru.

Sementara itu, video rakaman memaparkan detik-detik cemas sebuah helikopter yang hilang kawalan dan terhempas di Taman Melawati menjadi tular di media sosial.

Video berdurasi 8 saat tersebut sempat dirakamkan oleh orang awam yang berada di kawasan perumahan tidak jauh dari lokasi nahas tersebut.

Dalam satu kenyataan ringkas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor pula memaklumkan terdapat empat mangsa keseluruhan, iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

Ketika ini pihak bomba dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan mangsa.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis sebelum itu mengesahkan berlaku kejadian helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati, Ampang, Selangor kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Ketika ini pihak bomba dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan mangsa.

Laporan awal menyatakan terdapat 4 mangsa, dua lelaki dan dua perempuan dimana dua daripada mereka dipercayai didapati tidak sedarkan diri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.