Helikopter: PM ucap takziah kepada keluarga mangsa

90

8 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga juruterbang yang meninggal dunia akibat kejadian helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati, Ampang, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Muhyiddin berkata beliau juga berasa amat sedih apabila mendapat berita mendukacitakan mengenai kemalangan dua buah helikopter yang mengakibatkan kematian dua juruterbang terbabit.

“Saya difahamkan dua lagi juruterbang dan penumpang dalam kemalangan yang berlaku di kawasan Taman Melawati, Ampang itu mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan perubatan.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa nahas helikopter atas kehilangan orang tersayang dan tabah dalam menghadapi ujian ini.

“Kepada juruterbang yang tercedera, didoakan semoga kedua-duanya diberikan kesembuhan. Amin,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan dua individu meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas akibat perlanggaran di udara dengan sebuah helikopter lain di kawasan padang berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati di Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Sebuah lagi helikopter yang membawa Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines berjaya membuat pendaratan cemas di padang sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha mengesahkan, dua maut dalam nahas melibatkan dua helikopter itu yang dalam latihan penerbangan.

“Maklumat awal yang kita terima penerbangan ini dari Subang menghala ke Genting Sempah. Kedua-dua helikopter ini ada kaitan dari syarikat kelab penerbangan sama dan ke destinasi sama.

“Yang maut, Mohd Sabri Baharom dan Mohd Irfan Rawi. Manakala satu lagi helikopter, juruterbang dan penumpang kedua-duanya terselamat iaitu Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Lan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.