Dua lagi kluster dikenal pasti

347

8 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua kluster baharu COVID-19 pada hari ini melibatkan Kkuster Ikhtisas dan Berendam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Ikhtisas melibatkan daerah Petaling dan Klang di negeri Selangor, Jeli di Kelantan dan Seremban di Negeri Sembilan.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pra pembedahan pada 29 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 21 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 8 November 12 tengah hari, sejumlah 362 individu telah disaring.

“Setakat ini 22 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu) manakala 127 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, katanya, Kluster Berendam melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 30 Oktober 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lima lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 1,861 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19 (3 kes baharu); 109 individu dikesan negatif; dan 1,744 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 34 kluster melaporkan pertambahan kes baru hari ini dengan tertinggi Kluster Lengkuk melibatkan Sepang dan tiga daerah di Negeri Sembilan dengan sebanyak 69 kes.

Katanya, ini diikuti Penjara Sandakan dan Kluster Benteng LD dengan 34 dan 18 kes.

“Kluster aktif di Selangor seperti Hentian pula melaporkan 11 kes lagi dan ini menjadikan keseluruhannya 417 kes positif dikenal pasti daripada kluster ini,” jelasnya.

Pada perkembangan berasingan, Noor Hisham meminta kerjasama majikan dan orang ramai untuk memastikan bahawa mereka hanya berurusan dengan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19 yang mematuhi ketetapan syarat dan garis panduan KKM.

“Senarai kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta yang menawarkan perkhidmatan saringan COVID-19 boleh dirujuk di laman sesawang KKM, laman sesawang Bahagian Amalan Perubatan http://medicalprac.moh.gov.my/v2/ serta dalam aplikasi MySejahtera,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.