Belanjawan: Sabah masih dapat jumlah besar

234

8 NOV: Peruntukan RM5.1 bilion untuk infrastruktur Sabah dalam Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan Persekutuan masih mampu memberikan dana yang besar walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar disebabkan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun kurang sedikit berbanding peruntukan tahun ini, jumlah RM5.1 bilion yang diberikan itu masih memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.

bung moktar

“Kita bersyukur dan berharap, daripada sejumlah peruntukan itu Kementerian Kerja Raya negeri akan mendapat agihan lebih banyak memandangkan peruntukan tinggi diperlukan bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.

“Ia termasuk kerja menambah baik kualiti jalan persekutuan, jalan raya di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekalan air, menaik taraf sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan di bawah kawalan JKR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Menerusi belanjawan itu, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.1 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun ini, namun masih tinggi berbanding Sarawak yang hanya mendapat RM4.5 bilion.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Belanjawan 2021 bersifat menyeluruh kerana banyak lagi peruntukan lain diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021, termasuk RM3.8 bilion untuk kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

Katanya, peruntukan itu untuk memulihkan pelaksanaan projek berkenaan selain memulakan Pakej Serusop ke Pituru sejauh 21 kilometer menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi ‘missing link.”

Tambahnya, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah baki 24 pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun depan.

Secara keseluruhan, katanya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah mempunyai 35 pakej dengan 11 pakej sedang dalam pelaksanaan, satu pakej ditender semula di Tawau, tiga pakej dalam pemilihan kontraktor pelaksana, manakala baki 20 pakej belum dimulakan.

“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan peruntukan segera bagi melaksanakan baki 20 pakej lagi agar pelaksanaannya dapat dimulakan seawal RMK-12 ini,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya negeri.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Penyambungan semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sudah pasti akan membawa limpahan ekonomi kepada akyat dan memberi keyakinan kepada pelabur masuk ke Sabah,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar turut mengulas beberapa inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 seperti menerus dan meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinamakan semula sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap keadaan hidup rakyat memberi kelegaan kepada ramai orang khususnya dalam membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.