PKPB 9 negeri Semenanjung, 9 Nov – 6 Dis

544

7 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama empat minggu mulai 9 November hingga 6 Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti disamping untuk mengekang penularan COVID-19 di negeri-negeri ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini ,” katanya dalam sidang media khas MKN, hari ini di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Langkah tersebut dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 baru-baru ini.

Semalam, sebanyak 1,755 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan, jumlah tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia.

Sementara itu, Ismail Sabri, memberitahu tiga kawasan di Perak, Sarawak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kawasan terbabit adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar di Perak dan Wisma Saberkas dan Jalan Greenhill, Kuching yang akan bermula esok sehingga 21 November manakala Kampung Sabah Baru, Lahad Datu akan bermula bermula 9 November sehingga 22 November.

“Pelaksanaan PKPD di (SABK) Maahad Al-Yahyawiah bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar melibatkan seramai 123 pelajar dan 11 orang staf manakala PKPD di Lahad Datu akan melibatkan 701 buah rumah dan seramai 3,917 orang penduduk.

” PKPD ini juga membolehkan KKM terus melaksanakan persampelan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi memutuskan penularan dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju agar pelaksanaan PKPD di di Taman Semarak dan PPR Sri Balung, Tawau akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

“Sehingga 5 November 2020, KKM telah melakukan sebanyak 2,051 saringan di Taman Semarak dan hanya 13 kes didapati masih aktif.

“Bagi PPR Sri Balung, sehingga 31 Oktober 2020, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,149 saringan dan juga mendapati hanya 13 kes masih aktif.

“Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes COVID-19 di kedua-dua lokaliti-lokaliti ini mencatatkan trend penurunan dan terkawal,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.