Pendekatan tegas putus rantaian COVID-19

51

7 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan supaya beberapa pendekatan yang lebih tegas diambil bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Beliau berkata, peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat dan kita tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Muhyiddin memberitahu, data-data yang dibentangkan pada setiap hari di dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah cukup untuk menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Sehubungan itu, sidang khas MKN hari ini telah memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Pagi tadi, beliau mempengerusikan sidang khas MKN yang menumpukan perhatian kepada tindakan yang perlu diambil bagi memperketatkan lagi SOP dan segera membendung penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara.

Muhyiddin menambah, sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Semua perincian tentang keputusan-keputusan tersebut seperti tarikh mula kuatkuasa, dan kawasan yang terlibat telah dijelaskan dengan lebih lanjut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, pada sidang yang sama, beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak membuat pembentangan tentang Pelan Persiapan COVID-19 bagi negeri itu dan telah membuat permohonan untuk menambah bilangan katil di ICU dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan COVID-19 di tujuh buah hospital kerajaan di Sarawak.

“Saya telah minta supaya kerajaan negeri Sarawak mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti keperluan-keperluan ini dan diberikan pertimbangan sewajarnya,” jelasnya.

Perdana Menteri berharap pendekatan-pendekatan yang diputuskan itu akan dapat membantu menurunkan kes-kes baharu jangkitan COVID-19 kepada tahap yang paling rendah bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.