Lindungi keluarga daripada ancaman COVID-19

52

7 NOV: Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melindungi keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19, selain bertanggungjawab untuk bersama-sama membendung penularan pandemik itu dalam komuniti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2021 memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan rentan yang terjejas dengan pandemik COVID-19, dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited menetapkan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif.

Menurut beliau, kerajaan memahami tanggungjawab dan cabaran keluarga juga makin bertambah dalam meningkatkan penjagaan kesihatan keluarga di samping memastikan kelangsungan pendidikan anak semasa di rumah, dan penjagaan anak semasa bekerja.

“Tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, iaitu ‘Kita Jaga Keluarga’ bertepatan dengan situasi, semasa ketika kita semua sedang menghadapi ancaman COVID-19. Kesan pandemik COVID-19 ke atas negara dan amalan norma baharu telah mengubah kehidupan kita.

“Kerajaan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif bagi memastikan golongan rentan serta berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’ secara langsung menerusi Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.

Justeru itu, Muhyiddin berharap sambutan itu dapat meningkatkan kesedaran serta komitmen masyarakat dan semua pihak untuk mengukuhkan institusi keluarga, di samping menekankan bahawa kekuatan sesebuah keluarga adalah tonggak utama menjamin kestabilan masyarakat dan keutuhan negara.

“Kerajaan komited melindungi institusi keluarga terkesan COVID-19 dengan memberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan keluarga agar lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Keluarga terjejas dengan pandemik ini perlu diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memuji sikap mulia rakyat dalam saling bantu-membantu keluarga yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas.

Tambah beliau, sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga dan saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan.

“Dalam hal ini, saya difahamkan pihak kementerian (KPWKM) menyediakan khidmat sokongan dalam membantu menangani isu tekanan emosi di Talian 15999 secara 24 jam.

“Selain itu, Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pula menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal. Saya percaya bahawa inisiatif ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan ahli keluarga,” katanya.

“Saya percaya negara mampu bangkit semula selepas ini. Inilah Keluarga Malaysia yang unik dan sentiasa bersama-sama bantu-membantu baik ketika susah atau senang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.