Hanya pencarum terjejas boleh keluar Akaun 1

469

7 NOV: Kebenaran mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar menerusi Belanjawan 2021 adalah bukti keprihatinan dalam membantu rakyat yang terjejas disebabkan kesan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada permulaaannya kerajaan amat berat hati melaksanakan perkara ini yang memikirkan apakah jaminan kelangsungan hidup rakyat selepas mereka bersara nanti jika wang tersebut dikeluarkan.

Menurut beliau, kebenaran pengeluaran Akaun 1 yang akan dinikmati oleh hampir 460,000 orang dilakukan secara bersasar itu bagi memastikan mereka yang benar-benar terkesan dan yang memerlukan sahaja akan dibantu melalui faedah ini.

“Di peringkat awal (KWSP) tidak bersasar dan secara automatik semua boleh ambil tapi kali ini kita buat bersasar kerana kita nak tentukan hanya mereka terjejas teruk sahaja. Mungkin bagi suami isteri yang kehilangan pekerjaan dan sudah kehabisan simpan beli barang anak. Dalam kes sebegini kita pertimbangkan.

“Kalau boleh sebahagian besar yang ada simpan RM1,000 jangan sentuh namun kita benarkan kalau mereka nak ambil. Oleh itu, kita fikir kita luluskan dan ini kuasa Menteri Kewangan yang saya PM pun kena rayu. Kita bagi peluang kepada mereka terkesan walaupun itu simpanan mereka buat masa hadapan,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Astro Awani yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh berterima kasih kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pasukannya yang bekerja siang dan malam bagi membentuk Belanjawan yang komprehensif yang menyentuh pelbagai peringkat masyarakat.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar Ahli-Ahli Parlimen tidak kira kerajaan dan pembangkang menyokong bajet ini agar sebagai pemimpin kita dapat meringankan beban rakyat yang terkesan khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Diharap semua Ahli Parlimen baik pembangkang apatah lagi kerajaan menyokong agar ianya diluluskan. Kalau tak lulus aniayalah rakyat, saya tak boleh kata apa terserah kepada mereka namun harap mereka sokong supaya dapat kita usahakan.

“Ini satu langkah saya tak fikir akan selesaikan semua masalah yang kita hadapi tetapi usaha kita untuk selesaikan isu utama yang kita hadapi sekarang. Saya fikir ia (Belanjawan 2021) mencukupi hampir semua bidang itu amat penting harapkan beri kebaikan pada semua peringkat rakyat. Tiada siapa yang akan tertinggal di belakang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.