Biar mahkamah tentukan, jangan ada tangan ghaib – Zahid

749

7 NOV: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil sikap berlapang dada ingin membersihkan kes dirinya melalui proses undang-undang dan pada masa yang sama berharap tiada tangan ghaib yang campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

Beliau juga berpendirian tidak mahu kesemua pertuduhan kes beliau ditarik semula oleh Jabatan Peguam Negara kerana ingin membuktikan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak melakukan kesalahan.

“Oleh itu saya tidak menganggap diri saya berjiwa besar tetapi berlapang dada menerima hakikat bahawa kes saya mesti dibersihkan. Saya mesti bersihkan diri di mahkamah dan saya tidak mahu tuduhan-tuduhan itu ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara kerana saya tidak melakukan kesalahan.

“Namun demikian saya tidak mahu menggangu proses mahkamah, biarlah mahkamah melakukan keadilan mengikut proses perundangan namun jangan ada tangan-tangan ghaib yang campur tangan di dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah,” katanya seperti dipetik daripada laporan Audiobuzz Sinar Harian, hari ini.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 8 tuduhan rasuah, 12 tuduhan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, beliau tidak terkejut jika kes ini bermotifkan politik kerana telah dituduh di mahkamah ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut mendedahkan Dr Mahathir begitu marah kepadanya disebabkan saya tidak mahu melompat ke dalam partinya ketika itu di samping tidak mendengar arahan bekas Perdana Menteri itu untuk membubarkan UMNO.

“Bermotifkan politik kerana ketika itu kerajaan PH yang diketuai oleh seseeorang yang sangat marah kepada saya bukan ketika ini sahaja malah ketika saya menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 pun ketika itu marah kepada saya.

“Saya tidak terkejut jika kesumat dendam politik ini teurs berjalan apatah lagi kuasa datang semula pada beliau untuk kali kedua. Tentunya saya dimangsakan.

“Jika saya bukan Presiden UMNO maka saya tidak akan dituduh dengan 87 pertuduhan. Bagaimana saya telah ditawarkan untuk melompat parti yang diketuai oleh beliau (Mahathir) dan bagaimana saya telah diminta untuk membubarkan umno.

“Oleh kerana saya tidak membubarkan UMNO dan tidak menyertai parti itu, maka harga yang mahal saya terpaksa bayar. Ini tidak diketahui oleh ramai tetapi suara TV telah memberikan saya peluang ini dan harus menyatakan perkara yang sebenar,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid menghormati pendirian krajaan Perikatan Nasional (PN) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu barisan Kabinet dianggotai mereka yang bersih daripada tuduhan mahkamah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.