4 kluster baharu, Kluster Bah Puchong tamat

117

7 NOV: Sebanyak empat kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Softwood LD dikesan di Lahad Datu di mana kes indeks didapati positif COVID-19 pada 30 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif COVID-19.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah PPR Payang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.

Sehingga hari ini, sebanyak 109 individu telah disaring di mana 14 kes dikesan positif COVID-19 dengan 11 kes baharu.

Selain itu, beliau memberitahu, Kluster Teratai di Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat berpunca dari kes indeks yang dikenal pasti positif COVID-19 pada 2 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 73 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” jelasnya.

Sebanyak 101 orang telah disaring setakat hari ini ini di mana 74 kes dikesan positif dengan 58 kes baharu.

Di samping itu, Dr Noor Hisham menambah, Kluster Tapak Bina Damanlela melibatkan kawasan Lembah Pantai, Kepong dan Titiwangsa di mana kes indeks didapati positif COVID-19 pada 6 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 14 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.

Setakat hari ini, seramai 292 individu telah disaring di mana 15 kes dikesan positif termasuk 13 kes baharu.

Bagi Kluster Mahkota, Dr Noor Hisham menjelaskan, kawasan yang terlibat adalan Hulu Langat di Selangor, Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur, Sibu di Sarawak dan Putrajaya.

Menurut beliau, kes indeks kluster tersebut dikesan positif COVID-19 pada 30 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat yang seterusnya telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif COVID-19,” katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 56 orang telah disaring dan sembilan kes dikesan positif termasuk satu kes baharu.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan Kluster Bah Puchong yang melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Perak tamat hari ini.

“Sehingga 7 November 2020, seramai 88 orang telah disaring, 14 kes dikesan positif COVID-19 dan baki 74 orang adalah negatif.

“Kadar positiviti bagi kluster ini adalah 15.91 peratus. Tiada kematian dilaporkan dalam kluster ini,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.