1,168 kes baharu, Sabah kekal tertinggi

245

7 NOV: Sebanyak 1,168 kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 39,357 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,666 kes.

Beliay memberitahu, Sabah mencatatkan sebanyak 616 kes (52.7 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 275 kes (23.5 peratus) dan Labuan mencatatkan sebanyak 104 kes positif (8.9 peratus) pada hari ini.

“Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menyumbang sebanyak 995 kes (85.2 peratus) daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 229 kes (19.6 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara dengan melibatkan Kluster PTS Tawau (121 kes), Kluster Penjara Sandakan (91 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Tembok (6 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes).

Beliau turut memaklumkan, daripada 1,168 kes baharu hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan kesemua kes yang dilaporkan merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Selain Sabah, Lembah Klang dan Labuan, negeri-negeri lain yang mempunyai kes baharu adalah Negeri Sembilan (68 kes), Perak (37 kes), Sarawak (25 kes), Pulau Pinang (18 kes), Kedah (15 kes), Johor (5 kes), Terengganu (3 kes) dan Melaka (2 kes).

“Sehingga kini, terdapat 87 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, tiga kematian dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 282 kematian akibat COVID-19 di negara ini atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 1,029 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 27,409 kes iaitu 69.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.