Selangor bentang bajet biasa, bukan bajet COVID-19

103

6 NOV: Belanjawan Negeri Selangor yang dibentangkan pada 30 Oktober lalu dilihat langsung tidak mengambil berat mengenai kebajikan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata sebagai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sewajarnya mengambil langkah-langkah yang memudahkan rakyat dan membantu meringankan beban mereka.

“Saya melihat bajet Negeri Selangor tak boleh beza dengan waktu negara menghadapi COVID-19 dengan sebelum ini. Bajet ini tak ada sentuh bagaimana kerajaan nak bantu rakyat yang terjejas dengan COVID-19.

“Misalnya berikan pengecualian bayaran kepada hal-hal tertentu, misalnya sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau sebagainya.

“Kerajaan Selangor mesti merasai bagaimana susahnya rakyat di bawah sana untuk teruskan kehidupan,” katanya menerusi Bicara Belanjawan 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi facebook UMNO-Online, malam tadi.

Dalam pada itu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor memberitahu kerajaan Selangor seharusnya merasai penderitaan yang telah dialami oleh akar umbi dalam meneruskan kehidupan ketika pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri tentunya tahu ramai yang terjejas, peniaga terganggu, rakyat hilang pekerjaan, tak ada kerja jadi patutnya kerajaan perlu cari jalan bagaimana nak bantu rakyat,”katanya.

Sementara itu, Noh mencadangkan agar kerajaan Negeri Selangor mempermudahkan urusan rakyat yang mahu berdaftar menjadi peniaga di samping menyediakan tapak yang bersesuaian buat mereka berniaga.

“Dalam berdepan suasana COVID-19 ini, patutnya kerajaan kena benarkan bagaimana peniaga nak berniaga, perlu kecualikan peniaga kecil daripada lesen atau berikan kebenaran di tempat-tempat tertentu serta mudahkan dengan kesesuaian.

“Janganlah main saman dan angkut barang-barang. Suasana sekarang tengah berperang dengan musuh yang kita tak nampak dan Selangor negeri yang paling ramai terjejas maka patutnya kerajaan negeri ambil tanggungjawab.” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.