RM400 juta hapus faedah hutang kebun peneroka FELDA

127

6 NOV: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta untuk menghapuskan faedah hutang kebun peneroka FELDA.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut turut digunakan untuk menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.

Bagi pekebun kecil getah pula, kerajaan turut prihatin dengan nasib mereka dalam keadaan harga pasaran yang rendah.

“Peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta.

“Dengan kenaikan ini, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, sebanyak RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan.

Tengku Zafrul memberitahu, antara insentif tersebut adalah subsidi harga padi sebanyak RM570 juta serta subsidi dan insentif tanaman padi RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

“Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak,” jelasnya.

Muhyiddin Yassin
Gelagat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Di samping itu, beliau berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan mulai tahun depan.

“Lebih 40,000 nelayan akan menikmati bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM151 juta,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.