RM11.1 bilion peruntukan pembangunan bumiputera

119

6 NOV: Belanjawan 2021 memperuntukkan sebanyak RM11.1 bilion bagi menyokong pembangunan bumiputera sekali gus membantu mengurangkan ketaksamarataan antara kaum.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM8 bilion yang diperuntukkan pada tahun sebelum ini.

Menurut beliau, sebanyak RM6.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tengku Zafrul menambah, peruntukan itu adalah bagi menjalankan program khusus termasuk pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma.

“Bagi melonjak dan memperkasa usahawan bumiputera, sejumlah RM4.6 bilion disediakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.

Sejumlah RM800 juta akan disalur melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Selain itu, RM 2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk bumiputera,” jelas Tengku Zafrul.

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) pula akan menerima peruntukan RM750 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan nilai pegangan bumiputera dalam sektor hartanah terutamanya bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.