RM1 bilion bendung COVID-19, frontliners terima elaun khas

347

6 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sebanyak RM1 bilion lagi untuk membendung gelombang ketiga COVID-19 dalam Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan ini antaranya merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, kedua RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM diikuti RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19.

“Keempat, RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

“Kelima, menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu,” katanya ketika membentang Belanjawan 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak COVID-19 ini.

Katanya, sejak Mac lalu, Kerajaan telah memberikan Elaun Khas COVID-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi.

“Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100 ribu petugas kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan komited untuk mendapatkan sumber vaksin COVID-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX.

“Dijangkakan, bekalan vaksin COVID-19 melibatkan kos melebihi RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.