PRK Batu Sapi: Warisan letak calon

129

6 NOV: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal dilaksanakan pada 5 Disember ini.

Naib Presidennya, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, calon telah pun dikenal pasti namun ia akan diumumkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal nanti.

“Nanti Presiden akan buat kenyataan sebelum penamaan calon. Kita pun ada komponen kita juga iaitu Warisan Plus, kita akan bincang.

“Bagi (calon) kita rasa sudah ada, cuma tunggu keputusan kepimpinan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Sabah hari ini.

Sementara itu, ditanya berkenaan jangkaan Warisan mungkin akan dicabar walaupun dalam keadaan penularan kes COVID-19 yang tinggi pada waktu ini, Jaujan yakin akan ada pertandingan dalam PRK itu.

“Di Sabah ini, dalam sejarah tiada pertandingan secara percuma dalam pengalaman 60 tahun di mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), PRK pun sentiasa ada pertandingan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah keluarkan kenyataan PRK Parlimen Batu Sapi tetap diteruskan, maknanya ada pertandingan,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November dan hari pengundian awal pada 1 Disember.

Setakat ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan tidak akan bertanding disebabkan kadar kes COVID-19 yang tinggi di Sabah.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.