Keperluan Sabah jadi keutamaan – Hajiji

64

6 NOV: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan berjumlah RM5.1 bilion untuk pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri berkenaan.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata, menerusi Belanjawan 2021, Sabah menerima RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan pakej lain.

“Ini membuktikan kepentingan dan keperluan Sabah adalah keutamaan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini, mengulas kepada pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 petang tadi.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyatakan rasa gembiranya apabila diumumkan bahawa subsidi padi bukit dihidupkan semula dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.

“Ini akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 pengusaha penanaman padi di Sabah yang mengusahakan sekitar 7,000 hektar ladang padi bukit.

“Saya juga berharap keselamatan Sabah terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dapat ditingkatkan dengan peruntukan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan rakan Persekutuan lain untuk memastikan Belanjawan Nasional 2021 berjaya dilaksanakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.