IPG naik, pekebun kecil getah lega

72

6 NOV: Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan amat prihatin dengan perkembangan rancak sektor komoditi negara apabila Insentif Pengeluaran Getah (IPG) ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dengan kenaikan itu, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian daripada keseluruhan 450,000 dapat distabilkan dan memberikan kelegaan kepada mereka.

“Dalam usaha memperkenalkan transformasi pengeluaran getah dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, saya akan memastikan insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan

“Yang bakal dimulakan di Koridor Lateks Pantai Timur merangkumi Pahang, Tengganu dan Kelantan dimaksimumkan pelaksanaannya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

khairuddin
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin memberitahu, bagi pembangunan sektor komoditi, program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta akan diteruskan, bertujuan memastikan kualiti minyak sawit Malaysia terus dipertingkatkan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Bagi bidang kayu-kayan pula, beliau menyambut baik pembukaan kawasan perindustrian perabot di Pagoh, bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan bakal menjadi lembaran baru sektor ini di selatan tanahair.

“Keprihatinan kerajaan terhadap usaha kementerian saya mengangkat sektor hiliran kayu-kayan ini membuktikan bahawa ia mampu menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih mampan.

“Selain itu, penyediaan dana pusingan berjumlah RM500 juta bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) khusus untuk pembangunan ladang hutan yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas, akan menggalakkan lagi usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyediakan bekalan mentah kayu-kayan

“Khususnya bagi industri baharu seperti buluh, eucalyptus dan kayu karas ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha merancakkan kelangsungan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin amat menghargai keprihatinan empat syarikat sarung tangan utama negara iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan yang telah menyatakan komitmen bagi menyumbang sebanyak RM400 juta bagi memerangi wabak COVID-19 selain sudi untuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 serta kos perbelanjaan peralatan.

“Syabas diucapkan kepada semua syarikat ini. Saya berharap lebih banyak syarikat tampil melakukan tindakan sama sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Justeru, saya amat berharap Belanjawan 2021 ini disokong oleh semua Ahli Parlimen demi kemakmuran ekonomi rakyat dan negara kita khususnya dalam mendepani pandemik wabak COVID-19 ketika ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.