BPR ganti BSH, kadar bantuan lebih baik

1,031

6 NOV: Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik mulai tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, isi rumah berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Beliau menambah, isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

tengku zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

“Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan.

“Manakala, isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 akan menerima RM500 bagi yang mempunyai seorang anak dan bantuan RM750 bagi yang mempunyai dua ornag anak atau lebih.

Selain itu, menurut beliau, individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan RM350.

“Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan, pemberian BPR dijangka akan memanfaatkan seramai 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN yang bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.

Tengku Zafrul menyatakan, bermula suku pertama 2021, kira-kira lapan juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit komunikasi.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, kata beliau, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.