Belanjawan berjuang bersama, senang bersama

102

6 NOV:Belanjawan ‘Berjuang Bersama, Senang Bersama,”. Itu pendapat Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai Bajet 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Katanya, walaupun Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz  membentangkan bajet tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama,” Shahidan berpandangan tema ‘Berjuang Bersama, Senang Bersama’, amat sesuai dengan situasi negara ketika ini.

“Ketika kita sedang berjuang bersama-sama melawan Covid-19, sudah tentu susah senang akan sama dirasai rakyat negara ini,” katanya kepada PN BBC Portal sebaik selesai Tengku Zafrul membentangkan bajet yang secara kasar dilihat memberi manfaat kepada banyak golongan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, Barisan Nasional Perlis pada PRU 13 yang menggunakan slogan Berjuang Bersama, Senang Bersama memperolehi kejayaan besar.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana banyak cadangan yang dikemukakan semalam mendapat perhatian dan disebut oleh Menteri Kewangan termasuk bantuan tunai kepada rakyat, petani, Orang Asli, golongan belia serta memberi insentif kepada penghantar makanan dan barangan.

Malah, cadangan beliau supaya frontiners yang mendepani wabak Covid-19 diberikan imbuhan khas turut mendapat perhatian  apabila kerajaan bersetuju memberi elaun khas one-off RM500 kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai tambahan kepada RM600 yang diumum sebelum ini sehingga ancaman pandemik itu diatasi.

Cadangan Datuk Seri Shahidan Kassim supaya masyarakat Orang Asli diberikan peruntukan sewajarnya turut mendapat perhatian kerajaan dalam Bajet 2021

Tengku Zafrul juga mengumumkan kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik mulai tahun depan.

Melalui BPR, isi rumah berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Beliau menambah, isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

“Tahniah Yang Berhomat Menteri Kewangan. Pertama kali beliau bentang bajet jelas amat memahami kehendak dan keperluan rakyat ketika ini selain terbuka mendengar pendapat termasuk dicadang oleh saya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.