Bantu sektor penerbangan, keperihatinan kerajaan terserlah

162

6 NOV: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyambut baik Belanjawan 2021 yang disifatkan benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat dan negara secara menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini antaranya peruntukan RM50 juta untuk membantu industri penerbangan yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan yang terlibat dalam sektor penerbangan akan memberikan peluang pekerjaan baru bagi mereka demi memastikan masa depan yang lebih terjamin.

“Bagi membantu meringankan beban pengguna sektor pengangkutan darat pula, inisiatif pas perjalanan MY30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang dengan peruntukan sebanyak RM300 juta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahan pula, Ka Siong memberitahu, pengenalan insentif baru pas perjalanan tanpa had RM5 untuk membantu pelajar sekolah tahun 1 hingga tingkatan 6 termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula merupakan satu insentif yang terbaik untuk memastikan pelajar-pelajar sekolah dan OKU meneruskan aktiviti pembelajaran mereka serta meringankan beban kewangan ibubapa.

Menurut beliau, pas ini juga boleh digunakan bagi perkhidmatan tren Komuter Lembah Kelang, Komuter Sektor Utara, tren di antara Kuala Lipis, Pahang dan Tumpat, Kelantan serta perkhidmatan tren di Sabah.

“Melalui agenda pendigitalan pula, perkhidmatan atas talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperluaskan melalui pengenalan kiosk di 50 lokasi strategik orang
ramai di seluruh negara.

“Ini akan dapat mengurangkan keperluan orang ramai berurusan di kaunter-kaunter JPJ serta kemudahan perkhidmatan 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata menerusi Belanjawan 2021, MOT telah diberikan tanggungjawab yang agak besar membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 melalui program-program pembangunan sistem pengangkutan awam.

Katanya, ini seperti pelaksanaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dari Johor Bahru, Johor ke Woodlands, Singapura, MRT3 di Lembah Kelang dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

“Projek-projek pembangunan ini akan menyumbang serta memangkin ekonomi negara melalui aktiviti-aktiviti pembangunan serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara.

“Saya dan Kementerian Pengangkutan menyambut baik dan amat berterima kasih kepada Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.

“Syabas diucapkan buat seluruh warga Kementerian Kewangan yang melaksanakan siri jelajah dan sesi konsultasi ke seluruh negara merentasi 14 negeri mengadakan 38 sesi dialog melibatkan lebih 40 bidang perniagaan dan perusahaan.

“Apa yang pasti, MOT akan terus komited dalam menggembleng usaha dan tenaga bagi memulihkan semula ekonomi negara serta memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.