Usahawan Sabah dapat lanjutan moratorium 6 bulan

48

5 NOV: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi secara automatik kepada peniaga dan usahawan yang layak di negeri Sabah yang membabitkan jumlah kira-kira RM482 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, daripada jumlah itu, RM360.68 juta membabitkan pinjaman menerusi SME Bank yang melibatkan 298 peserta manakala 13,949 merupakan peserta TEKUN Nasional yang membabitkan jumlah bernilai RM89 juta.

“Begitu juga Perbadanan Nasional Berhad (PNS) melibatkan 14 usahawan berjumlah RM 2juta manakala Bank Rakyat pula melibatkan 23 usahawan membabitkan jumlah RM31.6 juta.

“Bagi usahawan terjejas di bawah TEKUN Nasional kita beri peluang untuk memohon semula sampai November ini untuk membuat permohonan moratorium tambahan selama tiga bulan lagi. Saya harap YB di kawasan masing-masing dapat menguar-uarkan perkara ini dalam usaha membantu mereka ketika pandemik COVID-19,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

MOHAMAD ALAMIN
MOHAMAD ALAMIN

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin tentang jika kerajaan ada melaksanakan penangguhan moratorium kepada usahawan khususnya kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Mohamad tentang program yang telah dan akan diperkenalkan oleh kementerian untuk PKS di Sabah kala pandemik COVID-19 ini, Mas Ermieyati memberitahu pelbagai strategi dilaksanakan pihaknya sebagai langkah membantu dan mempertingkah daya saing usahawan PKS.

Menurut beliau, menerusi proram pembiayaan, banyak pinjaman dilaksanakan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang meliputi modal permulaan dan perkembangan perniagaan untuk pembelian bahan mentah.

“Sehingga September 2020, sebanyak RM56.3 juta disalurkan TEKUN Nasional bagi membantu 5,422 usahawan dalam Sabah dan melalui Pakej Rangsanagan Prihatin PKS, sebanyak 2,436 permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM17.5 juta bagi negeri Sabah khusus membantu peniaga kecil.

“Bagi SME Bank untuk tahun 2020 telah luluskan sebanyak 139 usahawan dengan jumlah RM72 juta manakala Bank Rakyat luluskan seramai 2704 usahawan dengan jumlah RM224.6 juta dan diberikan kepada 273 usahawan bernilai RM17.7 juta bagi negeri Sabah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.