Tiada keperluan PKP sekali lagi

164

5 NOV: Kerajaan tetap berpendirian bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, PKP tidak akan diisytiharkan kerana kadar kes COVID-19 belum berada pada tahap kritikal selain tahap kesihatan awam yang baik di negara ini.

Menurut beliau, pertimbangan mungkin akan dibuat sekiranya kadar jangkitan COVID-19 mengatasi jumlah kes yang pulih.

MOHD REDZUAN MD YUSOF
MOHD REDZUAN MD YUSOF

“Total lockdown yang disebutkan adalah pilihan yang masih boleh dipertimbangkan namun buat masa ini tidak perlu dilaksanakan kerana kita dalam peringkat pemulihan dan dalam dasar keluar.

“Mekanisme krisis negara yang dilaksanakan berjaya mengawal wabak COVID-19,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tentang mengapa kerajaan masih lagi tidak melaksanakan PKP atau ‘lockdown’ memandangkan berlakunya peningkatan kes COVID-19 yang agak kritikal dan tidak terkawal.

Mohd Redzuan berkata, pelaksanaan semula PKP di negara ini akan memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan ekonomi masyarakat khususnya untuk mereka yang terjejas teruk akibat kesan pandemik itu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Shahidan jika perlunya diadakan ujian saringan COVID-19 seminggu sekali, Redzuan menjawab tidak perlu dilakukan dalam tempoh itu memandangkan dua minggu sekali adalah nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sesiapa Ahli Parlimen yang keluar dari zon merah sahaja, kita dah ada SOP tertentu yang mereka akan disaring dan dikuarantin dan tak boleh jumpa kontak-kontak lain dan wajib menjalani swab test.

“Saya faham untuk diadakan seminggu sekali namun WHO pun saranan adakan selama dua minggu itu sebab kita guna kaedah 14 hari yang juga kita tidak perlu membazir sumber untuk menjalankannya seminggu sekali,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.