PRN Sarawak mesti diadakan sebelum 6 Ogos

150

5 NOV: Sarawak mempunyai tempoh hingga 5 Ogos tahun depan untuk mengadakan pilihan raya negeri ke-12 seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 21(3) Perlembagaan Sarawak.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, penggal DUN semasa tamat pada 6 Jun 2021.

“Menurut Perkara 21 klausa 4, DUN ada lanjutan 60 hari jika penggal tamat pada 6 Jun 2021,” katanya dalam sidang akhbar di Kuching hari ini.

Jelas Mohd Asfia, penggal lima tahun itu bermula pada tarikh mesyuarat pertama DUN iaitu 7 Jun 2016, selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Tambahnya, pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

“Sama ada COVID-19 sudah berakhir atau belum, pilihan raya negeri harus diadakan. Itu sudah termaktub dalam perlembagaan. Tidak ada pilihan lain,” jelasnya.

Mengenai persidangan DUN akan datang pula, beliau memaklumkan mengikut jadual asal, ia sepatutnya diadakan selama 10 hari bermula 9 hingga 18 November ini.

Namun berikutan kebimbangan akan penularan COVID-19 yang kian meningkat, beliau berkata, tempoh persidangan disingkatkan kepada lima hari saja.

Sebagai langkah untuk meminimumkan risiko jangkitan, katanya, semua wakil rakyat dan anggota Kabinet negeri, termasuk Speaker serta semua yang akan memasuki dewan persidangan, diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum persidangan, iaitu pada 6 dan 7 November ini.

“Bangunan DUN akan disanitasi sehari sebelum persidangan dan sehari selepas persidangan. Prosedur ketat, terutama penjarakan sosial dan fizikal, diwajibkan di dalam dewan persidangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Belanjawan Sarawak 2021 akan dibentangkan pada hari pertama persidangan dan perbahasan mengenainya pula pada 11 November ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.