‘Pork free’ tak sama dengan halal

139

5 NOV: Penggunaan istilah ‘no pork’ atau ‘pork free’ bukanlah suatu istilah yang menunjukkan bahawa premis berkenaan adalah halal atau menepati takrif halal mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Berikutan itu, masyarakat sendiri perlu sedar dan bijak untuk memilih makanan atau produk atau premis yang disahkan halal oleh pihak berkuasa berwibawa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan melaksanakan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) bagi membantu pengguna membuat pilihan dan mengenal pasti status halal sesuatu produk.

ahmad marzuk shaary
AHMAD MARZUK SHAARY

Beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Pengkalan Chepa, berkata berdasarkan undang-undang yang sedia ada, permohonan SPHM adalah bersifat terbuka kepada semua pengusaha sama ada dimiliki oleh orang Islam mahu pun bukan Islam.

“Setiap produk dan perkhidmatan yang telah dan ingin dipersijilkan halal, pemeriksaan dibuat dengan teliti dan terperinci untuk memastikan ramuan yang digunakan adalah halal, proses dan pengendalian dibuat dengan menepati kehendak syarak serta berdasarkan standard ISO/IEC 17065 ; Conformity Assessment – Requirements For Bodies Certifying Products, Process And Services.

“Bagaimanapun, buat masa ini, undang-undang untuk mewajibkan SPHM kepada pengusaha belum diwujudkan. Namun JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri telah berkerjasama dengan beberapa pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia premis dengan mewajibkan pensijilan halal melalui peraturan di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

“Antara agensi berkenaan ialah Perbadanan Putrajaya bagi premis-premis makanan, Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Malaysia Berhad) dan Grand Saga di premis makanan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Marzuk menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan melaksanakan perintah wajib halal daripada JAKIM terutama bagi kedai makan dan restoran di lapangan terbang dan pasar raya dan bagaimana pula dengan status ‘No Pork’ yang sering dipamerkan oleh restoran terbabit.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata walaupun tiada undang-undang untuk mewajibkan permohonan pensijilan halal dilakukan oleh pengusaha-pengusaha premis makanan, namun melalui Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Berikutan itu, mana-mana produk atau premis yang menggunakan sebarang bentuk ungkapan atau perbahasaan yang boleh mengelirukan pengguna bahawa produk atau premis berkenaan halal adalah menjadi suatu kesalahan.

Ini termasuklah ungkapan atau perbahasaan seperti ‘makanan orang Islam’, ‘Muslim Product’ dan lain-lain. Sekiranya didapati produk atau premis melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah berkenaan atau menggunakan logo halal tanpa SPHM yang sah adalah satu kesalahan dan boleh dihukum. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.