Darurat: Kerajaan boleh nasihat semula Agong

540

5 NOV: Kerajaan sedia mempertimbangkan keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong semula agar diisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi dan Sarawak berikutan pilihan raya yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang jelas untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagian berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Baru-baru ini, seperti yang semua rakyat Malaysia maklum, kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan Perkara 150 ke seluruh negara disebabkan lebih 20 alasan yang diputuskan Kabinet.

“Jika dirasakan perlu, kerajaan akan memikirkan (beri nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong), kalau tidak keseluruhan (negara), atau mana-mana bahagian (kawasan tertentu untuk dilaksanakan darurat).

“Pokoknya, dari segi Perlembagaan, ia adalah dibolehkan,” katanya dalam sesi soal jawab siang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tentang sama ada kerajaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bagi mendapatkan perkenan isytihar darurat di kawasan tertentu bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan penularan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.