Tak masuk akal lebih 5,000 kilang haram dibiar beroperasi

440

4 NOV: Tindakan Kerajaan Negeri Selangor membenarkan 5,589 kilang di Selangor beroperasi secara haram walaupun mempunyai lesen perniagaan disifatkan satu perbuatan yang tidak masuk akal.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, lebih mengecewakan walaupun tarikh pematuhan sudah tamat pada 30 September lalu namun kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyambungkannya sehingga 31 Disember 2020.

“Semalam, media melaporkan terdapat 5,589 kilang di Selangor yang beroperasi secara haram. Walaupun mereka ada lesen perniagaan, saya tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang perniagaan.

“Malangnya, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, YB Ng Sze Han tidak bersetuju untuk kilang-kilang ini disekat.

“Tetapi memberikan ruang untuk mereka terus beroperasi di samping berusaha memenuhi aspek-aspek teknikal di bawah projek Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ng Sze Han

Dalam pada itu, Aminuddin mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh kilang tersebut secara terang-terangan telah melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, seharusnya tindakan daripada pihak penguatkuasa harus diambil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pasti mengetahui tentang perkara ini.

“Bagaimana kilang-kilang ini boleh menjalankan operasi mereka tanpa kelulusan sampai sekarang? Kenapa tidak ada tindakan awal diambil? Apakah pihak PBT tak tahu atau sengaja mendiamkan diri?

“Kalau ada elemen rasuah kenapa SPRM tak ambik tindakan? Jabatan Alam Sekitar pula bagaimana? Mustahil juga Menteri Besar tidak tahu perkara ini. Adakah masuk akal sejumlah 5,589 kilang yang beroperasi secara haram tapi tiada yang sedar?

“Adakah Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat tidur? Atau ada pihak yang telah “menyuap” pihak berkuasa sehingga semua tutup mulut? Walaupun sudah terbongkar, kerajaan negeri tidak malu pula mempertahankan kilang-kilang ini,”katanya.

Justeru, Aminuddin memberitahu, tidak hairanlah jika Selangor selalu tiada bekalan air disebabkan pencemaran dan pemimpin seperti ini harus ditolak daripada mentadir negeri ini.

“Entah berapa ratus juta kerajaan harus tanggung untuk pulih keadaan sedangkan pihak pengilang duduk bersenang-lenang mengaut keuntungan. Yang jadi mangsa tetap rakyat marhaen.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk menolak pemimpin-pemimpin rakus dan tidak berintegriti yang ada pada hari ini dan pilhlah pemimpin yang betul-betul amanah dan berkerja untuk kepentingan rakyat bukan perut sendiri,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.